"Hamim, ada orang nak jumpa.""Sapa?""Entah, budak kelas sebelah kot."'Ish, sapa pulaklah yang nak jumpa aku ni? Member-member masa sekolah rendah dulu ke? Tapi nak buat apa?'Aku tertanya sendiri. Perlahan-lahan aku bangun dari kerusi dan melangkah menuju ke kelas tingkatan 1 Hanafi. Aku menjenguk melalui pintu belakang, kalau-kalau kawan aku ke nak jumpa aku. Tapi tiba-tiba aku rasakan wajah aku macam kena simbah dengan air panas. Malu. Dalam kelas tersebut semuanya lelaki, aku pulak terintai-intai ikut pintu belakang. Dah macam orang mengendap pulak. Semua mata memandang ke arah aku."Syazwan, kau main-mainkan aku ek? Tak guna betul!"Aku terus memarahi Syazwan. Terpinga-pinga dia memandang aku. Geram aku dibuatnya, malu dah satu hal."Eh, mana ada main-main. Budak tu yang nak jumpa sangat dengan kau. Aku sampaikan pesan je. Takkan tu pun nak marah kot?""Budak tu-budak tu, sapa dia? Kau tahu tak, malu gila aku tehendap-hendap kat pintu belakang tu."Syazwan membuat muka selamba. Sakit hati aku memandangnya."Entah, sapa entah nama dia. Ha ni, lupa pulak. Dia kata nak jumpa kau sebelum balik ni.""Jumpa aku?"Syazwan mengangguk sebelum kembali duduk di kerusinya apabila Cikgu Azi yang mengajar subjek matematik untuk kelas kami masuk. Aku termenung. Sapa pulak la yang nak jumpa aku ni? Hai, confiuse aku dibuatnya.
"Aidil, teman Mim boleh tak?""Ala, malaslah. Kan semua kena pergi padang, nanti lambat kena marah pulak.""Alah, bukannya kita ambik bahagian pun, cuma pergi tengok je. Temanla, please..."Aku memujuk sahabat baikku. Akhirnya dia mengangguk. Dia sajalah satu-satunya kawan perempuan aku yang masih rapat sehingga akhir tingkatan satu. Yang lain cuma bertahan sekejap saja. Aku pun tak tahu kenapa."Dia nak jumpa dekat mana?"Aidil menyoal aku. Aku menjungkitkan bahu tidak
tahu."Kenal tak?"Aku menggeleng."La, habis tu nak jumpa macam mana kalau tak kenal?"Aku diam lagi."Mim, budak tu tunggu kau dekat tangga."Tiba-tiba aku terdengar Syazwan menjerit memberitahu aku. Aku masih berada di hadapan kelas Aidil. Walaupun aku dan Aidil bukan sekelas, tapi kami sentiasa berulang-alik ke sekolah menaiki bas yang sama. Mungkin sebab itulah kami menjadi rapat."Ha, tu. Cepatlah, mesti budak tu dah tunggu. Sapa nama dia?"
"Entah, Syazwan kata...........Adib."Tanpa berlengah, aku berjalan dengan Aidil menuju ke tangga. Ramai pelajar-pelajar lain turun menggunakan tangga yang sama. Aku biarkan dulu keadaan lengang. Malas mahu berhimpit-himpit, sesak jadinya. Hati aku berdebar-debar. Tak tahu kenapa. Mungkin sebab aku tak kenal orangnya kot."Tu sapa? Dia tu ke?"Setelah keadaan agak lengang, Aidil menunjuk ke arah aku kelibat dua orang pelajar lelaki yang masih berdiri di tepi tangga. Aku menggeleng. Manalah aku tahu. Dia memandang ke arah aku, tapi aku tak berani pun nak pandang ke arah dia. Tanpa berfikir panjang, aku terus menarik tangan Aidil dan menuruni tangga tanpa menoleh pun ke arah pelajar lelaki tersebut.Apabila tiba di bawah, aku masih dapat mendengar butir bicara dua orang pelajar tersebut. Aku dengar mereka bercakap pasal aku. Ah, biarlah. Macam kelakar pulak rasanya. Tak henti-henti aku ketawa.
Aku turun dari bas. Lewat sikit aku sampai hari ni. Langit mendung. Ya Allah, janganlah hujan. Aku kena mengayuh basikal pulak untuk sampai ke rumah. Bas cuma berhenti di tepi jalan sahaja. Sewaktu aku hendak melintas jalan, tiba-tiba pelajar lelaki yang naik satu bas dengan aku bersuara."Mim, Adib kirim salam."Aku mengerutkan dahi mendengar kata-kata Azmir, teman sekelas aku. Dia juga satu kampung dengan aku. Takkanlah dia pun tahu pasal ni? Malunya aku. Bagi aku semua ni tak patut berlaku. Macam cinta monyet je. Kelakarnya rasa.Aku melintas jalan. Aku membuka kunci basikal. Aku mengayuh cepat-cepat. Takut hujan turun, basah kuyup pulak aku sampai rumah nanti. Lagipun jam dah hampir pukul tujuh malam, menambahkan rasa takut dalam diri aku. Dalam hati aku berdoa banyak-banyak, mulut pulak tak lekang dari membaca ayat-ayat al-Quran dan surah-surah pendek yang aku hafal untuk menghilangkan rasa takut.
SMKSA, PERAK 2002"Aidil, yang mana satu?" "Yang tu lah. Yang hari tu kawan dia."Aidil menunjukkan kepada aku kelibat seorang pelajar lelaki sedang berjalan. Tapi keadaan kami yang berada dalam bas waktu itu sedikit menghalang pandangan aku. Kecewa lagi aku untuk melihat wajahnya. Nampak macam pakai songkok, tapi tak tahulah pulak kalau kali ni pun aku tersalah orang. Malunya kalau diingatkan balik. Orang nak jumpa aku tak nak, alih-alih tercari-cari jugak tuan empunya badan.Sebaik bas berhenti, kami semua turun. Aidil ke kelasnya, manakala aku menuju ke kelas aku. Aku masih bersekolah sesi petang, sedangkan kelas Adib waktu pagi. Jadi, harapan nak jumpa tu memang tipislah. Aku melangkah ke kerusi aku. Tempat duduk aku belakang sekali, ditepi tingkap dan bersebelahan dengan kantin. Kelas kami ditingkat dua, jadi kalau bosan belajar, aku selalu 'cuci mata' melihat gelagat-gelagat manusia di kantin.Kadang-kadang tercari-cari jugak kalau-kalau terpandang wajah yang dicari walaupun agak mustahil."Mim, dah siap math semalam? Nak tiru boleh?"Muncul Syahila, rakan kelas aku. Tiru-meniru ni biasa je bagi kami, maklumlah, saling 'tolong-menolong.'"Nah, tapi jangan pulak kau tiru bulat-bulat. Kalau tahu dekat Cikgu Azi, mati kita.""Alright my darling.""Eh Siti, aku dengar dia nak pindah. Betul ke?""Ha ah. Rasanya tahun ni kot dia pindah."Aku memasang telinga mendengar perbualan antara Siti dan Mira. Tiba-tiba macam tertarik pulak aku mendengar topik perbualan mereka."Tak rindu ke nanti?""Eh please! Adib is my ex-boyfriend okay. Tak ada kena mengena dah dalam hidup aku."Kata-kata Siti itu memeranjatkan aku. Adib bekas kekasih Siti? Biar betul? Kenapa aku tak tahu. Kalau macam nilah gayanya, aku rasa orang macam Adib tu tak jujur. Tak mustahil satu hari nanti, aku pulak yang jadi ex-girlfriend dia. Ei, nauzubillah. Bagus jugak aku tak kenal dia.Nasib baiklah aku dengar apa yang Siti dan Mira borak. Kalau tidak, hmm sampai ke sudah aku tak tahu cerita ni. Mesti Adib cuma nak main-mainkan aku je. Masakanlah orang macam aku ni boleh menarik perhatian dia. Aku ni bukannya menonjol sangat, kawan pun tak ramai.Hmm, biarlah dia dengan perasaan dia. Tapi kenapa aku nak ambil tahu sangat pasal dia?Setiap hari apabila ke sekolah, aku selau berharap terserempak dengan dia. Mungkin kami pernah terserempak, cuma aku saja kot yang tak kenal dia.
Daripada awal tahun sampailah penghujung tahun 2002, aku masih tak jumpa dia. Akhirnya aku biarkan macam tu je. Lagipun dengar-dengar cerita, dia dah pindah sekolah sebab ayah dia terpaksa berpindah tempat kerja. Aku menjalani kehidupan aku sebagai pelajar sekolah seperti biasa walaupun sesekali bayangan cerita Adib dan gambaran wajahnya menziarahi mimpiku. Namun, setiap kali bermimpi, wajahnya pasti tidak kelihatan.
IPTA, OGOS 2009, PANTAI TIMUR, Aku agak sibuk setelah masuk tahun terakhir pengajian aku di sini. Hujung tahun ni aku grad. Sibuk siapkan final project, prepare untuk final semester lagi. Segala-galanya berlaku dengan pantas.Sepantas manapun masa yang berlalu, cerita Adib setia mengikutiku. Adakah aku terkena sumpahannya. Aku rasa, selagi aku tidak melihat wajah lelaki yang bernama Adib, selagi itu hatiku tak tenang. Kadang-kadang sedih jugak, teringat pesanan senior-senior aku yang warak, jangan cinta atau sukakan seseorang lebih daripada sayang dan cinta kepada Allah s.w.t.Buat masa ni, aku hanya mampu berdoa, supaya Allah lupakan sekejap cerita tentang Adib. Biarlah aku berjaya mencapai impianku dulu. Banyak impian aku yang belum aku capai. Yang pasti, perancangan aku selepas grad ni, aku hendak membuka sebuah kedai buku. Hasil karya aku yang aku tulis sepanjang mengisi pengajian aku, akan aku bukukan. Kakak aku juga bersetuju memberi modal kepada aku. Jadi, bolehlah aku menguruskan kedai buku aku sementara menunggu peluang mneyambung pengajian.
NOV 2009Masa yang ditakuti oleh semua pelajar tiba juga. Inilah ujian yang menentukan masa depan kami semua. Aku ingat pesan mak, segala-galanya ditangan Allah. Walaupun kita sudah berusaha, jika Allah tidak inginkan kita berjaya, maka kita takkan berjaya. Kita kena terima qadak dan qadar yang telah Dia tetapkan. Tawakkal kepada Allah s.w.t, jangan sesekali lupankan-Nya.Aku menghadapi peperiksaan akhir ini dengan tenang. Alhamdulillah, Allah kurniakan aku ketenangan ini. Semoga ianya menjanjikan kejayaan buatku. Amin.
KUALA LUMPUR 2013 "Mim, bangunlah. Hari ni kau ada sesi bersama peminat. Dah pukul lapan dah ni."Tubuhku digoyang-goyang."Ala, pukul 9 la Syikin. Sejam lagi. Drive kereta pun 15 minit je. Jap lagi aku bagunlah."Aku menarik selimut."Iyalah tu. Bersiap aja dah setengah jam kau tu. Tulah, suka sangat tidur lepas Subuh. Eh, tak elok tau tidur lepas Subuh."Syikin mula membebel. Sejak melanjutkan pelajaran di UPM sampailah sekarang, kami sudah mempunyai kerjaya masing-masing, Syikin masih setia menjadi teman menyewa aku. Kami rapat sejak tahun pertama di universiti lagi. Aku bangun malas. Selimut ku lipat lambat-lambat."Aku dah jadi macam artis la pulak kan."Aku memasang angan-angan. Membayangkan keadaan aku dikerumuni peminat-peminat aku."Dah, jangan nak berangan! Mandi cepat. Kesian orang-orang yang datang nak dapatkan autograf kau."Syikin mencampakkan tuala mandi kewajahku. Aku menarik tuala mandi dan menggaru-garukan kepala aku yang tidak gatal. Aku tersenyum sendiri."Tercapai jugak impian aku nak bukak kedai buku. Kau tahu Syikin, impian ni wujud sejak aku kat sekolah lagi.""Ya, aku tahu. Masuk ni entah kali keberapa kau cerita dekat aku. Bosan dah aku dengar. Pergi mandi cepat. Aku tak nak temankan baru tahu.""Janganlah macam tu Syikin, ni first time aku berjumpa dengan peminat ni.""Tulah kau, nak berahsia sangat. Sampaikan makna nama pena kau pun rahsia dalam rahsia.""Iyalah, dah setahun setengah aku jadi penulis, sekarang barulah aku rasa bersedia untuk tonjolkan diri. Memang dari dulu lagi aku tak suka expose diri aku ni. Nak buat macam mana.."Aku mengeluh. Sepatutnya aku teruja, tapi aku macam tak ada perasaan pulak nak bertemu peminat. Aku melangkah ke bilik air. Lagi lama aku duduk, lagi panjang pulak bebelan si Syikin tu.Selesai mandi, aku bersiap-siap. Aku mengenakan baju kurung bunga kecil berwarna hijau lembut bersama tudung berwarna krim. Kakiku melangkah penuh debar.
PUJANGGA HAMIM, KUALA LUMPURAku mengurut jari jemari yang terasa kebas. Dari pagi tadi aku asyik menandatangani buku-buku hasil tulisan aku. Semuanya dibeli oleh peminat-peminat aku. Ada yang datang dari Selatan, ada yang datang dari Pantai Timur, Utara. Dari negeri aku di Pantai Barat pun ada. Gembira dan terharu bercampur baur."Penat jugak ya jadi orang terkenal ni."Syikin mencebikkan bibir."Alah, takkan kau cemburu kot dengan kawan kau ni. Kalau aku glamor nanti, kau pun glamor jugak.""Kau tak kisah ke aku tumpang glamor kau?"Soal Syikin tiba-tiba. Akhirnya ketawa kami terburai. Hasil karya aku yang paling laris adalah novel aku yang bertajuk 'CERITA TENTANG KITA'.Sebenarnya novel tu adalah kisah yang betul-betul berlaku dalam hidup aku. Aku tak sangka pulak, novel tersebut menarik minat pembaca. Lebih-lebih lagi ini adalah kemunculan pertama aku bersama peminat. Ramai yang bertanya, mengapa berahsia. Aku sekadar tersenyum. Tidak tahu alasan apa yang patut aku beri."Cik Hamim, petang ni ada lagi satu sesi tau. Pukul 2.30 sampai pukul 5.00 petang."Airin, pembantu aku mengingatkan. Aku hanya mengangguk."Jom makan. Lagipun kejap lagi masuk Zohor, boleh terus solat."Aku bersetuju dengan pelawaan Syikin. Restoran Selera Kampung menjadi pilihan kami. Lagipun restoran tersebut terletak berhampiran Pujangga Hamim, kedai buku aku. Makanannya juga sedap-sedap.
RESTORAN SELERA KAMPUNG, KUALA LUMPUR"Macam mana kau boleh terfikir nak buat novel pasal diri kau sendiri?"Aku menggeleng. Sungguh, aku tak pernah terfikir pun nak tulis cerita tentang diri aku sendiri."Kau tak pernah cerita pun dekat aku sebelum ni.""Cerita apa?"Aku pura-pura tidak mengerti. Aku meneruskan hirupan kuah tom yam yang aku pesan."Pasal cerita kau dengan Adib."Aku tersenyum. Aku membetulkan sedikit tudung yang aku pakai."Syikin, tu cerita 12 tahun dulu. Sampai sekarang pun aku tak tahu macam mana rupa lelaki yang bernama Adib tu. Entah-entah anak dah lima kot."Kami tertawa. Hakikatnya aku sendiri tidak mengerti kenapa setiap kali cerita tentang Adib timbul, hati aku resah. Hipokritkah aku menipu perasaan sendiri? Macam mana aku boleh jatuh hati pada orang yang aku tak pernah tengok rupanya dan tak pernah kenal orangnya? Malas aku mahu berfikir tentang cerita itu, menyesakkan dada dan memeningkan kepala aku."Cepat sikit makan tu. Dah pukul 2.00 ni, nak solat lagi. Cubalah tepati masa sikit."Syikin mula membebel."Yalah Cik Nor Asyikin bt Muhammad. Hamim Mohd Haikal akan menurut perintah."Aku mengajuknya. Syikin mula menunjukkan wajah geram. Aku ketawa melihat gelagatnya.
PUJANGGA HAMIM, KUALA LUMPUR Aku melihat jam ditangan. Lagi setengah jam pukul 5. 00. Tapi orang masih ramai. Penat jugak melayan peminat ni. Akhirnya aku memberitahu Airin untuk berhenti setelah pukul 4.45 petang. Takut lewat habis pulak nanti."Huh, penat batul aku."Aku mengurut-ngurut tengkuk dan jari jemari aku."Biasalah, orang ada peminat. Lepas ni, jangan pulak Cik Hamim lupakan saya."Airin bersuara setelah menutup pintu utama Pujangga Hamim. Semua pengunjung sudah balik. Hanya aku, Syikin dan juga Airin yang masih tinggal."Insya Allah, saya takkan lupakan orang-orang yang dah banyak bantu dan sokong saya selama ni."Syikin dan Airin tersenyum.Kringg!!!Kring!!!!Perbualan kami terganggu oleh deringan telefon. Airin segera menjawab."Tapi, sesi autograf dah setengah jam habis encik. Kami dah tutup kedai dah. Encik datang bulan depan boleh? Lagipun, minggu depan ada lagi satu sesi penulis bersama peminat."Aku dan Syikin hanya mendengar. Letih belum hilang lagi. Tangan aku juga sudah tidak mampu untuk menandatangan."Tak boleh encik, lagipun bos saya dah nak balik. Dah lewat ni encik."Aku lihat Airin masih lagi berbicara. Sebentar kemudian dia menjauhkan gagang telefon dari telinganya, dan memandang ke arah aku."Cik Hamim, ada peminat ni. Saya dah bagi tahu, sesi autograf dah habis. Tapi dia degil jugak. Dia kata dah lama nak jumpa Cik. Dia kata dia pun dari Perak jugak. "Nada suara Airin seperti risaukan sesuatu. Petang-petang macam ni, dengan keadaan kami bertiga perempuan, macam-macam boleh berlaku."Tak apalah Airin, bagi ajalah dia masuk. Kesian pulak. Datang jauh-jauh semata-mata nak jumpa saya.""Ish, kau ni Mim, tak takut ke kalau-kalau yang datang tu orang jahat ke?""Syikin, tak elok tau buruk sangka dengan orang. Apa-apa pun, dia peminat aku. Bukan senang nak jumpa orang yang sanggup datang jauh-jauh macam ni.""Alah, jauh apanya KL-PERAK, ikut lebuh raya tiga jam je dah sampai."Aku menggeleng kepala."Baiklah encik, tapi sekejap aja tau. Encik boleh masuk sekarang."Airin meletakkan gagang telefon. Aku menuju ke ruang hadapan kedai untuk menanti pengunjung terakhir. Aku duduk dikerusi menanti. Meja bulat dihadapanku aku kemaskan sedikit.
"Assalamualaikum......""Waalaikumsalam......."Aku terdengar suara Syikin menjawab salam. Mungkin orang baik-baik kot. Kalau tak, takkanlah siap bagi salam.Novel Cerita Tentang Kita dihulurkan kepadaku. Aku leka menatap buku hasil tulisanku itu. Aku mencari pen. Tak sangka pulak aku ada peminat lelaki. Jarang jumpa lelaki yang suka membaca, lebih-lebih lagi membaca novel ataupun cerita cinta. Kagum jugaklah aku dengan mamat ni."La, mana pulak pen aku ni. Tadi ada kat sini. Sapa pulak la yang ambik."Tanpa sedar aku bersuara. Terlupa pula dihadapan aku ni ada seseorang yang sedang menanti aku untuk menurunkan tandatangan pada bukunya."Tunggu sekejap ya encik, saya ambil pen."Aku bangun. Wajahnya aku pandang. Terkaku seketika dengan ketampanannya. Di bajunya terselit tanda nama Dr Adib. Aku beristighfar panjang."Takpalah, pakai pen saya jelah."Aku mengangguk dan kembali duduk. Dia menghulurkan sebatang pen kepadaku.'Smk SA'Tulisan pada pen tersebut menyebabkan aku tidak jadi menurunkan tanda tangan aku pada buku tersebut. Wajahnya kupandang untuk kali kedua. Kemudian aku pandang lagi tulisan pada pen yang aku pegang."Awak tak salah pandang. Memang betul apa yang awak rasa."Untuk kali yang ketiga, wajahnya kutatap. Adib. Smk SA adalah sekolah aku dulu. Pen tersebut hanya dijual dikoperasi sekolah sahaja. Dia ke Adib yang aku cari selama ni?"Macam mana.........."Belum sempat aku bertanya, dia terlebih dahulu menjawab."Ni."Dia menunjuk ke arah novel Cerita Tentang Kita."Selepas baca cerita ni, saya terus nekad mencari awak. Cerita ni adalah cerita tentang kita. Dari dulu sampai sekarang, saya tetap sukakan awak. Saya tahu perasaan awak terhadap saya lepas baca novel ni. Sudi tak kalau saya nak awak jadi isteri saya?"Aku terkedu. Secepat ini dia melamar aku. Aku menoleh kekiri, Syikin dan Airin terpinga-pinga menyaksikan situasi yang sedang berlaku. Aku juga terkejut."Saya tak main-main macam yang awak fikirkan. Saya serius."Ya, memang dia serius. Aku dapat lihat dengan jelas diwajahnya dan tutur katanya.Aku memandang buku dihadapanku, dan aku turunkan tanda tanganku di situ.Pujangga HamimAdib-HamimAku tersenyum kearahnya. Aku yakin, dia memahami maksudku. Kalau dah nama kedai aku pun menggunakan namanya, apa lagi yang perlu aku jelaskan. Pujangga itu sendiri adalah maksud namanya-Adib-Buku itu aku hulurkan padanya. Dia menyambut dengan penuh senyuman. Senyuman yang amat bermakna buat aku.
Sunday, May 4, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
boleh la tu
Post a Comment